Ramadhan vs Syawal

#1

Sebelum masuk bulan Ramadhan lagi, semua orang dah bersiap-siap dah dengan perancangan masing-masing, nak buat aktiviti harian. Tak boleh nak buat aktiviti lasak-lasak, takut nanti penat. Tak boleh buat kerja outdoor sikit, semua nak buat kat dalam tempat-tempat sejuk. Takut panas, haus katanya. Tak apalah. Panas sikit je pun. Tu kan panas kat dunia, belum panas kat akhirat lagi, kata yang lain. Kan bulan puasa ni (lagi sedap kalau disebut bulan Ramadhan), lagi elok kalau kita bekerja lebih. Beribadah la lebih sikit. Kan kita kerja tu niat untuk ibadah (mengabdikan diri kepada Allah). Kalau kerja penat sikit nak komplen-komplen, ada la tu yang tak kena dengan kita. Niat kerja untuk apa sebenarnya? Tanya balik diri masing-masing. Zaman Rasulullah dulu, orang boleh pergi berperang masa bulan Ramadhan. Zaman millennium platinum sekarang ni, nak kerja lebih sikit dah mula mengeluh, aduhh. Macam mana ni?

#2

Bulan Ramadhan ni bulan sale yang Allah bagi kat semua orang Islam (Muslim). Setiap amalan sunat diberikan ganjaran seperti amalan fardhu dan amalan fardhu pulak dilipat kali ganda, berganda-ganda lagi. Rugi lah sapa-sapa yang tak nak shopping sakan bulan ni kan. Kalau boleh dizahirkan berapa banyak untung yang boleh kita dapat masa bulan Ramadhan ni, mesti kita tak nak berhenti shopping. Confirm. Boleh bayang tak, orang ramai penuh bersesak-sesak kat Sogo dari subuh sampai ke waktu maghrib, dan terus sampai ke subuh esok harinya, 24/7. Nak gambarkan betapa bestnya sale yang Allah buat ni. Tapi sayang, berapa ramai je yang boleh nampak sale yang Allah buat ni dengan mata hati. Sayang betul. Sombong betul kita yang tak nak beli barang-barang branded, yang ada class masa Allah buat mega sale ni. Kaya betul kita ni, sampai tak nak rebut peluang yang datang setahun sekali ni. Mungkin dah perasan dah cukup dah shopping sepanjang tahun. Tak perlu dah Ramadhan Mega Sale ni. Hakikatnya, sepanjang tahun ni, berapa guni sangat je yang amalan kita yang betul-betul berkualiti. Cuba check balik. Kita selalu cakap kita buat amal itu, amal ni, tapi adakah semua tu Allah terima? Cuba taksir balik. Hm.

Kat Malaysia ni, lagu raya memang laku start awal Ramadhan lagi. Berkumandanglah ia kat dalam Mydin Mall, stesen-stesen radio, dalam teksi dan bas, mula dari 1 Ramadhan sampai habis bulan Syawal. Begitulah senario demam Raya kat rakyat Malaysia ni. Bukan nak condemn dengan fenomena ni, cuma kan lebih baik kalau dihebahkan betapa besarnya fadhilat amalan ibadat dalam bulan Ramadhan ni. Kan lagi comeyy kalau diberi tazkirah/peringatan/reminder kat dalam corong-corong radio tu. Dihebahkan jugak betapa besarnya ganjaran Lailatul Qadar dan untungnya orang-orang yang meraih malam tersebut. Ye dak? Disebabkan lagha dengan lagu raya, habis satu demi satu tawaran lumayan yang Allah bagi ni diangkat balik ke langit, bersama-sama dengan nikmat satu hari di bulan Ramadhan. Kesannya? Tengok la jumlah jemaah kat masjid-masjid, surau-surau. Mula-mula ramai, makin lama makin sikit. Sikit, sikit, dan terus sikit. Paling sikit, hari last tarawih. Ramai orang dah mula cat rumah, vakum carpet, buat ketupat, bakar lemang, main mercun. Alih-alih, pak haji mak hajah yang memang jadi ahli tetap masjid je yang datang berjemaah. Yang muda, duk berjimba, melagha.

#3

Rumah besar yang kita buat kita tak bawak buat bekal dalam kubur. Tau-tau mati je, semua kekayaan yang kita ada, bini-bini, anak-anak, kereta kecik motor besar, semua tinggal kat dunia ni. Jawatan dan pangkat yang kita pegang pun tak ke mana, paling-paling pun masuk dalam rekod ofis je sebagai pekerja paling produktif. Bila nak menghadap Allah, amalan masa hidup je lah sebagai bekalnya. Pernah ada orang quote ni, “Orang yang sempurna akalnya ialah orang yang selalu memeriksa dirinya dan beramal untuk bekal sesudah mati manakala orang yang bodoh pula ialah orang yang selalu menurutkan hawa nafsunya dan mengharapkan keampunan Allah tanpa amal”. Kita tak nak jadi orang yang bodoh, tapi kita nak jadi Muslim yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Ada orang tanya, “Tak boleh ke nak kumpul harta banyak-banyak? Nak buat rumah besar-besar, nak beli kereta mewah. Kalau tak boleh, baik tak payah kerja..” Mungkin ada antara kita yang pernah terdengar keluhan kesah orang-orang sebegini. Realitinya, kita perlu berusaha, bahkan Islam menuntut kita untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh seperti kita mahu hidup seribu tahun dan beramal soleh seolah-olah kita akan mati esok hari. Kumpullah harta sebanyak mana yang kita nak, tak jadi masalah. Sahabat Rasulullah, Uthman bin Affan pun orang kaya. Jutawan pada masa tersebut. Tak salah untuk jadi kaya. Cuma, perlu ditekankan, kekayaan yang kita kumpul tu, biarlah boleh tolong kita nanti jumpa Allah bila kita dah mati.

Dan orang-orang di atas A’raaf (tempat yang tertinggi) menyeru orang-orang yang mereka kenal dengan tanda-tandanya sambil berkata, “Harta yang kamu kumpulkan dan apa yang kamu sombongkan, (ternyata) tidak ada manfaatnya buat kamu.”
Al-A’raaf : 48

Biarlah ada bahagian untuk kita sedekahkan, wakafkan. Kan elok kalau dengan apa yang kita ada, kita hulur sedikit apa yang termampu untuk orang yang tak berapa mampu. Tak kisah lah, duit, tenaga, dan sebagainya. Ingat, jangan sampai harta yang kita kumpul berpuluh-puluh tahun, dakwa kita atas salah guna harta. Jangan sampai rumah yang kita bina macam istana jadi dinding yang pisahkan kita daripada solat berjemaah di surau atau masjid. Tak guna buat pagar rumah yang boleh halang lembu kerbau masuk kawasan rumah, tapi tuan punya rumah sendiri tak boleh nak melangkah kaki keluar pergi masjid. Jangan sampai beli kereta mewah yang harga berjuta-jutan, tapi dengan orang kampung dah tak nak bertegur sapa, menyombong. Jalan pun dah tak nak tengok bumi, hidung tinggi punya pesen. Orang kata, jangan sombong sangat, sebab nanti bila mati, orang kampung jugak yang kena datang urus mayat, solat jenazah dan hantar ke kubur.

#4

Amalan yang dilakukan masa bulan Ramadhan, alangkah elok kalau kita istiqamah sampai ke bulan Ramadhan yang akan datang, dan terus sampai akhir hayat kita. Yang baik, kita teruskanlah. Yang buruk, ambillah peluang masa bulan Ramadhan ni untuk kita singkir, remuk-remukkan dan nyahkan sikap-sikap dan amalan yang tak baik tu. Rugi sangat-sangat kalau kita masuk Madrasah ar-Ramadhan (Sekolah Ramadhan) tapi bila kita grad, sama je dengan orang yang tak pergi sekolah. Tak ada apa-apa pun yang kita belajar. Rugi lah kita. Orang masuk sekolah makin lama makin pandai. Tapi kalau masuk sekolah Ramadhan, bila kita tamat je belajar pada 1 Syawal, tak ada apa-apa yang berubah, alangkah hinanya kita. Wajar sangat lah kita belajar sedikit sebanyak daripada bulan ni. Kalau tak dapat belajar banyak, ambik lah ibrah sikit. Yang tak dapat nak berlari, boleh mula merangkak dulu. Kan amalan yang istiqamah tu lebih disukai Allah berbanding amalan yang besar dan grand-grand, tapi tidak berterusan.

source: ikhwanzhaki.blogspot.com

Sepanjang bulan Ramadhan kita berjaya menahan diri daripada lapar dan dahaga, harapnya kita pun dapat lah jugak menahan diri daripada melakukan dosa-dosa yang kita tak sangka akan masuk dalam akaun amalan harian yang dicatit malaikat ‘Atid. Mata, apa yang kita tengok? Lidah, apa perkataan yang kita sebut? Kaki, ke mana kita melangkah? Amalan yang baik, elok kita teruskan. Amalan yang buruk, apa yang kita nak jawab nanti kat depan Allah?

Dan tinggalkanlah dosa yang terlihat ataupun yang tersembunyi. Sesungguhnya, orang-orang yang mengerjakan (perbuatan) dosa kelak akan diberi balasan sesuai dengan apa yang mereka kerjakan.
Al-An’aam : 120

Jagalah nikmat pancaindera yang Allah bagi sebelum nikmat tu Allah tarik balik. Ramai lagi orang yang perlukan nikmat yang kita dah ada, tapi betapa bersyukurnya orang-orang istimewa ni, tak pernah pun nak ingkar perintah Allah. Tak rasa segankah kita, orang yang lengkap fizikal dan sempurna mental ni?

#5

Sebagai makhluk Allah yang kerdil, lemah dan hina ni, saya sendiri tak terlepas daripada situasi-situasi di atas. Tidak berniat untuk membuka pekung, tetapi saya mahu menegaskan bahawa bulan Ramadhan ialah bulan rahmat dan nikmat. Satu bulan yang belum tentu lagi akan kita temui pada tahun hadapan. Saya akui, bulan Ramadhan kali ini lebih bermakna walaupun disulami dengan pelbagai ujian, tapi saya yakin bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik, selamanya terbaik. Saya yakin.

*Tak sabar menanti kunjungan Ramadhan 1434H.

 

 

 

Advertisements

One thought on “Ramadhan vs Syawal

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s