م ص ر [Part 1]

Part 1 مصر

Mim. Sod. Rá. – م ص ر

Mim. Sod. Ra. Dulu masa mula-mula sampai Mesir dulu, senior selalu duk sebut tiga huruf ni. Lepas seminggu duduk di bumi Ardul Kinanah, baru faham apa maksud diorang.

Mim (م) untuk Musibah, Sod (ص) untuk Sabar, Ra (ر) untuk redha.

Dan apa yang dorang sampaikan tu memang betul. Berdasarkan pengalaman hanya seminggu kat sini, memang banyak betul musibah yang dilalui. Hanya selepas itu, dua elemen lagi, sabar dan redha pula datang menyusul.

Mim Sod Ra

***
Macam mana  boleh pergi ke Mesir?

Bukan dulu buat A-Level Medic ke?

Meh aku cerita.

***
Panjang ceritanya…

Setahun lepas…

Dolu-dolu (baca: once upon a time), lepas dapat result A-Level yang agak tak best, aku blank nak sambung belajar kat mana. Dipendekkan cerita dengan JPA, aku tulis surat terminate kontrak dengan JPA. Alhamdulillah, JPA tak minta bayaran balik sepanjang 2 tahun aku di Shah Alam dulu. Siap dapat cenderahati lagi sebagai tanda kenang-kenangan; JPA bagi surat sokongan untuk apply IPTA atau IPTS yang aku berkenan.

Aku pun mulakan application aku. Semua peluang yang aku nampak, sama ada online application, kat surat khabar, dekat billboard dekat highway; semua aku apply. Buntu, buntu. Kalau tak sambung belajar sekarang, takkan nak menganggur?

{Dulu kata masa SPM gempak giler!}

Jadikan cerita panjang, mana-mana tempat yang aku apply; mesti akan reject aku. Kalau tak reject bulat-bulat pun, at last akan reject jugak application aku bujur-bujur, petak-petak, kon-kon mahupun macam-macam segi bentuk lain.

Aku apply IPTA; IPTA reject aku. Katanya, dah tak ada tempat sebab dah penuh memandangkan intake September baru saja diambil. Aku apply IPTS; IPTS kata aku tak lepas minimum requirement. Dengan dapat result A-Level 9 points je, mana tempat nak terima aku. Lebih-lebih lagi, Biology dapat D. Universiti mana hoi nak terima medical student kalau Biology pun dapat D?! (lebih teruk; aku fail satu paper daripada 6 paper Biology tu; proud of me).

Masa tu, memang rasa down gila. Rasa macam nak buat bungee jumping je. Rasa nak jerit sambil nyanyi lagu Untitled (Simple Plan) kuat-kuat.

Tapi tulah, inilah ujian yang Allah bagi aku. Aku mesti bersyukur. Tak semua orang boleh hadapi ujian macam ni. Aku selalu ingat kata-kata ustaz, segala ujian yang Allah bagi kat kita ni, tak lain dan tak bukan adalah untuk menebus balik dosa-dosa lepas. Aku hanya perlukan kesabaran, ketabahan dan redha. Kata ustaz aku tu lagi, bersama-sama ujian ni jugak, Allah sertakan sekali nikmat selepas ujian. Masih, aku tunggu di manakah nikmat itu; bagai mencari pelangi selepas gerimis (puitis gitu).

Masa semakin pantas menaiki Ferrari meninggalkan aku. Dah hampir sebulan aku dapat result A-Level tu. Tapi kedudukan aku masih tak berganjak. Terasa ada label di dahi aku:

AKU FAIL A-LEVEL. DEAR UNIVERSITY, PLEASE ACCEPT ME.

Seriously. Terasa ke mana-mana aku pergi, memang terasa down, terhina dan segala-gala lagi rasa yang teruk. Dengan budak sekolah rendah pun aku rasa segan. Rasa macam nak repeat balik kehidupan masa kecik-kecik dulu. Nak tebus balik kesilapan aku ni.

Masa tu dah masuk minggu keempat bulan September 2012. Seorang demi seorang sahabat rapat aku hantar ke lapangan terbang. Dorang gumbira untuk sambung belajar di tempat masing-masing; dan aku pun tumpang gumbira. Tapi yalah, sekadar tumpang gembira tak ke mana juga, kalau status diri sendiri pun masih tak tertanggung.

AKU FAIL A-LEVEL. DEAR UNIVERSITY, PLEASE ACCEPT ME.

Aku merintih sedih. Sekadar mengharap simpati.

you-loser1

***
Dan tiba-tiba aku dapat satu panggilan daripada kawan di INTEC dulu. Beliau jugak terkandas dalam exam; just exactly like me. Dia beritahu, cuba apply untuk buat Medic di Mesir melalui. Pada masa tu, kawan aku tu suggest untuk mohon dengan Global Medic Network (GMN). Katanya, program Medic tu berkembar Mansoura-Manchester selama 5 tahun. Hanya pakai result SPM. Terus aku berangan, merayakan winter di Old Trafford Road. Ah, angan-angan sudah.

Masa tu jugak, terus aku call GMN untuk tanya ada lagi tak tempat untuk program tu. Bila aku cakap niat aku untuk apply Medic dengan GMN, alangkah sedihnya bila officer tersebut kata, program tersebut dah penuh. Harapan aku nak bermain-main salji di kota raya Manchester terus mencair, meleleh bak ais krim di tengah hari di musim panas.

***
Ting!

Tetiba pulak, aku teringat sahabat baik aku yang juga sambung Medic di Mesir. Sudah 2 tahun di berada di bumi Tanta melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan melalui agennya Medic Mesir. Masa tu, aku terfikir, seandainya aku apply tempat di sana, mesti dan mesti aku jadi junior beliau, walaupun kami sebaya dan beliau adalah teman rapat aku semasa di sekolah dulu.

Mahu tidak mahu, aku mesti buang ego. Sekarang ini, aku perlukan tempat untuk belajar. Sedangkan aku, tiada siapa yang menghiraukan.

Terus aku call Medic Mesir untuk beritahu hajat aku untuk sambung Medic di Mesir. Dalam perbincangan dengan pegawai tersebut, aku mula menimbang tempat untuk aku sambung belajar. Adakah di Tanta atau di al-Azhar Cairo untuk bidang perubatan? Jika di Tanta, aku punyai kawan di sana yang mungkin mampu menemani aku di sana. Dan jika di al-Azhar, aku perlu untuk mendaftar dalam program Tahfiz al-Quran bersama-sama program Perubatan. Baik untuk aku, tapi risaukan juga mendengarkan nasihat daripada kawan-kawan. Takut tak tertanggung, kerana aku sedar akan kapasiti aku yang tak seberapa ni.

Perlahan-lahan aku buka emel yang dihantar MM kepada aku. Mata aku tertumpu kepada yuran pengajian di Mesir. Benar kata orang. Yuran pengajian di sana lebih murah berbanding di Malaysia. Tak kurang juga living cost di sana. Sebulan RM 300 pun sudah memadai untuk menanggung perbelanjaan lazim. Tempoh pengajian selama 6 tahun di sana, berbanding 5 tahun di Malaysia tidak menjadi masalah buat aku, kerana bagi aku, selagi mana aku bergelar pelajar, tidak salah dan tidak perlu aku berasa sedih meninggalkan keluarga di Malaysia.

Aku sedari, sekarang ini, aku sudah tidak lagi berminat untuk menjadi seorang doktor. Aku tidak nafikan, pada mulanya, aku cenderung untuk menjadi seorang doktor. Menjadi doktor, gaji bulanannya besar, dipandang tinggi oleh orang awam dek ketinggian ilmunya.

becoming a doctor

Namun hakikatnya, aku sedar, menjadi doktor bukanlah matlamat sebenar aku. Aku hanya mahu jadi doktor kerana mahu mengambil jalan singkat untuk dipandang mulia oleh masyarakat. Aku mahu jadi doktor kerana gajinya besar. Aku mahu menjadi doktor kerana aku minat Biology. Aku mengambil jalan singkat untuk menolak terus profesion lain seperti farmasis dan doktor gigi, mungkin kerana kurang popular.

Aku sedar, minat terhadap Biology tidak cukup untuk menjadi seorang doktor yang baik. Bertugas sebagai seorang doktor pula, memerlukan komitmen yang  tinggi dalam setiap perkara; khususnya dalam bidang yang telah diamanahkan. Bertugas berbelas-belas jam sehari, mesti bersedia untuk on-call beberapa kali seminggu, melayani dan menyantuni setiap pesakit yang datang membawa penyakit dan kerenah, menjadi hospital sebagai rumah pertama berbanding rumah sendiri. Aku muhasabah diri. Kukira, aku tidak punya kekuatan seperti itu untuk menjadi seorang doktor yang baik. Aku tidak mahu menyusahkan diri sendiri; lebih-lebih lagi menyusahkan orang ramai bila bergelar doktor nanti.

Aku pertimbangkan semula pilihan aku.

Pilihan yang menentukan kehidupan aku untuk berpuluh-puluh tahun aku datang.

***
 ‘Sar, tak nak try pharmacy? Kerja pharmacy taklah teruk sangat.’

Cadang akak, selepas perbualannya dengan kawan lamanya melalui telefon. Kata akak aku, kawannya menasihati aku untuk menimbangkan farmasi sebagai karier untuk aku. Bekerja sebagai farmasis, tidaklah sejemu yang disangka. Aku sentiasa membayangkan bahawa kerja sebagai ahli farmasi hanyalah menunggu pelanggan datang ke farmasi untuk membeli ubat. Jika tiada pelanggan, tiadalah kerja lain. Tiada kerja lain, bosannya!

medication

Ya, tanggapan aku selama ini memang salah. Aku sentiasa menganggap kerjaya sebagai farmasis membosankan dek pemikiran aku yang tidak terbuka, jumud dan terperangkap dengan hanya satu skop kecil dalam bidang farmasi. Perniagaan membuka farmasi sendiri adalah salah satu cabang dalam bidang itu sendiri. Ada juga farmasi yang bekerja di hospital; seperti sang doktor yang memakai kot putih, ada juga farmasis yang bekerja di perindustrian; menghasilkan ubat-ubatan untuk kegunaan komersial, ada juga farmasis yang bekerja di firma kerajaan dan swasta; mengkaji dan menyelidik ubat terbaru untuk mengatasi penyakit baru, ada juga yang bekerja di sebalik tabir; menghasilkan dadah untuk suntikan pesakit dan sebagainya.

Ya, farmasi itu luas! Hanya fikiran aku yang tertutup, menjadikan pandangan aku kelam, lebih gelita daripada memejam mata di dalam bilik hitam yang dipadamkan lampunya.

Aku memohon kepada Allah agar ditenangkan hati untuk membuat keputusan ini..

***
Mata aku masih merenung ke jumlah yuran yang perlu dibayar di Mesir nanti. Tak berkelip pandangan aku, tertumpu kepada satu jumlah yang jauh lebih murah berbanding kursus-kursus lain yang ditawarkan. Jumlah bayaran yang perlu dibayar nanti adalah separuh lebih rendah daripada kursus perubatan di Mansoura, Kaherah dan Alexandria. Perubatan di Tanta juga murah, tapi rendahnya bayaran yuran untuk kursus ini tidak terbanding.

Aku melihat ke lajur sebelah kiri. Tertulis di situ,

FARMASI — ZAGAZIG — 5 TAHUN — ##### USD

Farmasi. Farmasi. Perkataan pertama itu banyak kali berlegar di ruang minda aku. Bermain-main di corong telinga kiri dan kanan. Terngiang-ngiang masih cadangan akak aku satu masa dulu. Adakah benar ini turning point untuk satu perubahan? Adakah ini jalan keluar yang ditunjukkan oleh-Nya?

***
Akhirnya,

Aku membuat keputusan ini setelah lama berfikir panjang

MEDICINE ——> PHARMACY

Tanpa berlengah, aku terus call MM untuk menyatakan keputusan yang aku buat ini.

Tergugah juga hati, bila pegawai yang menjawab panggilan aku bertanya,

‘Ni betul ke nak buat Farmasi? Tak nak buat Medic? Ni result SPM ni bagus ni, bagus sangat-sangat ni..’

Aku membalas yakin sambil menguntumkan senyuman dalam talian, ‘Ya, nak buat Farmasi’. Mudah-mudahan, pilihan ini adalah pilihan yang terbaik untuk aku. Sudah kurayu pada Yang Esa, sudah kuminta restu orang tua, sudah kutanya pendapat keluarga. Semua bersetuju dengan keputusan aku, walaupun mereka pada mulanya berat untuk melepaskan aku, si anak bongsu.

Dalam masa yang sama, perlu juga aku cari duit untuk membiayai perbelanjaan untuk persiapan ke sana. Nyata, tak mudah untuk aku lari dari satu masalah kerana selepas satu dan satu, Allah telah menyediakan ujian untuk hamba-hamba-Nya lalui. Dan aku salah seorang dalam rancangan-Nya.

***
‘Mana aku nak cari duit ni? Duit dalam bank berapa lah sangat..’

‘Takkan nak jual tanah kot? Mahu kena marah dengan pakcik makcik!?’

‘Takkan nak batalkan saja pergi ke Mesir?’

 ‘Apalah sangat tunggu satu semester dan sambung belajar di IPTA..’

Suara hati bermonolog. Sedaya hati, tidak mahu aku susahkan ibu bapa dan adik beradik aku yang selama ini menjaga kebajikan aku, khususnya hal yang berkaitan kewangan. RM 23k perlu aku cari dalam masa kurang dari sebulan. Buntu datang menjengah sekali lagi.

***
Allah memakbulkan doaku, mungkin. Satu demi satu berita baik aku terima hari ini. Baik melalui emel dan SMS, semuanya membuatkan aku senyum keseorangan, sekaligus mengeluarkan aku dari kepompong kedukaan.

‘Abang masukkan duit #### ke dalam Maybank awak’

‘Jom, petang ni kita buat Bank Draft untuk bayaran Mesir awak tu..’

‘Kak bagi ini dulu eh. Nanti ada lagi, kak bagi lagi..’

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tidak mampu aku gambarkan betapa gumbiranya hati aku pada saat itu. Untuk sebulan lepas, aku sering merasakan bahawa aku keseorangan, memanifestasikan label kegagalan ke dalam dunia sebenar. Sebenarnya, mereka yang berada di sekeliling aku sentiasa menyokong aku untuk kebaikan aku. Mungkin tempoh 30 hari yang mereka berikan itu mahu membuat aku berfikir akan erti hidup, akan erti pentingnya membuat keputusan mengikut firasat hati dan erti peripentingnya sebuah persaudaraan.

god-grateful-prayer

Pesan akhun kabirku lagi; masa perjumpaan keluarga selepas solat Maghrib bersama-sama.

’Sekarang ni dah tiba masanya untuk kita sekeluarga berkorban apa yang patut untuk adik kita yang bongsu ni, biarlah walau kena korbankan banyak duit ke, apa ke, yang penting sudah sampai masanya untuk kita tak terus bergantung kepada siapa-siapa. Kita akan berpakat, untuk hantar Adik ke Mesir, dengan syarat Adik kena belajar bersungguh-sungguh, tak boleh main-main lagi, cuba paling baik untuk dapatkan penaja masa tahun kedua. Kalau perlu kerja kat sana, pergi kerja. Kalau tak ada hal mustahak, takyah balik Malaysia..’

***
Dalam masa 2 minggu sahaja, sejumlah RM 23k berjaya aku kumpul untuk biayai yuran (RM 8k) dan bayaran rumah, penerbangan dan sebagainya (RM 15k) kepada MM.

Ya, tak pernah terlintas untuk aku sambung ke Mesir dalam masa yang singkat ni. Dulu, lepas SPM, aku pernah apply dengan MedicMesir sendiri untuk sambung pengajian Perubatan di al-Azhar selama 6 tahun. Namun, mungkin masih belum tiba jodoh dengan bumi Mesir ketika itu, kerana aku tolak tawaran tersebut kerana memikirkan peluang berada di negara orang putih di bawah tajaan JPA.

Hari ini aku dapat lagi panggilan dari MM.

‘Flight awak 2 Oktober nanti.. Jumpa di KLIA pukul 5 petang ya..’

Alhamdulillah..

Okay.. 2 Oktober. Hanya 7 hari lagi dari sekarang.

Aku menghitung hari.

***
Kini, aku yakin. Sudah tiba jodohku dengan Mesir. Bumi yang penuh dengan barakah. Bumi di mana pernah tinggalnya para Anbia’, bumi yang mana tertumpahnya para syuhada’ yang memperjuangkan Islam, bumi yang telah disebut di dalam mukjizat agung al-Quran. Namun aku tidak lupa, aku tidak mempertaruhkan tempat ini sebagai tempat untuk aku jadi manusia lebih baik, kerana di bumi ini jugalah manusia yang dilaknat Allah disimpan, Firaun yang ditelan Laut Merah bersama pembantunya Haman, juga si Qarun yang ditelan bumi bersama-sama hartanya. Lebih penting, diri sendiri. Aras iman yang akan memacu hidup aku di Mesir nanti, sama ada jalan Nabi Musa as atau jalan Firaun laknatuLlah.

***

Bersambung…

[part 2 مصر . Tunggu..]

image_pharmacy

Advertisements

11 thoughts on “م ص ر [Part 1]

  1. Awak,cemana terminate jpa..nak buat jugak.pless. sebab penaja lama xnak lepaskan utk bersama jpa..~T_T~
    Wasep 0134454220

  2. dh abiz pengajian di zagazig mesir? okay x pengurusan di sana bwah medicmesir? sjil farmasi di sana laku di malaysia?

    • Belum lagi. Berbaki lagi 2 tahun inshaaAllah. Alhamdulillah, masa tu takde masalah pengurusan oleh MedicMesir. Utk setakat ni, akreditasi semula ijazah sedang dijalankan. InshaaAllah baik2 sahaja nanti.

  3. Salam alaik.
    Boleh tak share sikit pasal study pharmacy dekat sana? Ada clinical jugak ke? Kalau tak boleh brbahasa arab agak2 boleh bawak tak course ni? Boleh share tips tak utk bakal yg nak fly gi mesir nnti.
    Jazakallah

    • Wassalam alaik. Cerita pasal pharmacy ye..
      – Mostly kelas kat sini mula jam 9; habis paling lewat jam 3 petang.
      – Ada 1 lect & 1 lab setiap minggu utk setiap subjek (based on subject credit hour)
      – Clinical years bermula pada tahun ke-4.
      – Lecture English-Arabic. Basically depends on lecturer & number of students. Biasanya kalau student Msia ramai, Lectr akan cakap English.

      Kalau perlu details lagi, pm ye.
      N kalau nak kenal Mesir & tau apa aktiviti2nya, boleh visit page mediaPERUBATAN 🙂

    • kalau dia cakap bahasa Arab, try minta kawan Arab yang pandai English untuk translatekan. Better belajar bahasa Arab lah, dalam tempoh duduk kat Mesir ni. Insya-Allah banyak gunanya nanti.

      Yep. Semua buku dalam English.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s