#8 Indonesia

 

Sar, bila kau nak datang sini? Kalau kau datang sini, serius kitorang layan kau macam raja.

Kau nak pergi mana, just name it.

***

Day 1

Alhamdulillah, sampai jugak aku di bumi Jakarta. Bumi yang telah menyaksikan ragam revolusi perjuangan pemuda, melihat bagaimana setiap penduduk kotarayanya yang maha padat berjuang untuk mencari secicip rezeki dan tidak pernah pula lelah untuk menggegar dunia.

Kotaraya Jakarta

Untuk makluman, jumlah penduduk di Jakarta di adalah seramai 28 juta orang, yang mana hampir banyak dengan seluruh penduduk di Malaysia. Jadi, boleh dianalogikan keadaan Jakarta ni memang sangat pack, semacam seluruh penduduk Malaysia disumbat masuk ke dalam bandar Kuala Lumpur.

Jadi, mana maunya, bandar Jakarta ni tak macet (jem), kalau bilangan penduduknya pun dah menyardini seluruh pelosok bandaraya ni. Memang benar ada highway kat sini, tapi itu pun boleh jadi jem. Biasanya, jalan raya kat sini ada 3 lanes macam tu, tapi boleh jadi juga wujudnya 4-5 lanes memandangkan kreativiti dan keberanian pemandu tersebut.

Dari segi keluasan Jakarta ni, boleh kata besar la. Memang besar pun actually. Berapa km persegi tu, tak tahu la pulak, cuma yang menampakkan Jakarta ni sebagai sebuah bandar yang sangat besar ialah terbahaginya kawasan-kawasan yang lebih kecil, misalnya, Jakarta Pusat, Jakarta Utara, Jakarta Timur (Jakti), Jakarta Barat (Jakba) dan Jakarta Selatan (Jaksel). Dan setiap satu kawasan kecil ni pun, dah cukup besar dah, mungkin boleh dikatakan sebesar saiz bandaraya Kuala Lumpur. And there is where macet begins.

Oh ya, sebagai penutur bahasa Melayu dekat sini, mungkin taklah berapa susah untuk survive di bumi Jakarta ni. Cuma perlu diingatkan, kemahiran mendengar pertuturan bahasa orang setempat adalah sangat diperlukan. Lebih-lebih lagi, orang Indonesia sering sahaja menggunakan akronim dalam setiap ayat mereka. Misalnya, perkataan nasgor (Nasi Goreng), muntaber (Muntah Berak), bandara (Bandar Udara/ Lapangan Terbang) dan macam-macam lagi.

Dari aspek fasilitas pula, terdapat sangat banyak mall yang boleh dijalani untuk bershopping. Memang botingkek-tingkek la kato Waris, hah. Banyak dan besar pulak tu. Yang menarik, di kebanyakan mall kat sini juga terdapat masjid di tingkat paling atas. Contohnya, di Tana Abang, terdapat masjid 2 tingkat di tingkat atas megamall tersebut. Ini menyenangkan para pengunjung untuk bersolat Jumaat sekalipun sedang asyik membeli belah pada hari tersebut.

cepe

Lagi satu, di kotaraya Jakarta ini, suasananya tak ubah seperti di bandaraya Kaherah, Delhi dan bandar-bandar lain yang punya penduduk yang ramai dan padat. Di jalan-jalan, terdapat pengamen (pengemis) yang mendekati kenderaan untuk mendapatkan sumbangan ikhlas. Yang syok, kat sini ada ramai pengamen yang miliki suara yang amat best untuk didengar melalui lagu-lagu yang mereka nyanyikan. Rasa macam nak suruh dorang nyanyi lama-lama je!

Info Trafik:

Dalam perjalanan dari bandara ke Tanjung Duren, Jakarta Timur (kediaman sahabat di sini), penumpang teksi mesti membayar tol yang dikenakan sepanjang perjalanan. Kalau di Malaysia, hanya caj meter yang perlu dibayar kepada pemandu. Tapi, despite on paying some added charges, servis yang diberikan pemandu atau pak supir kat sini memang terbaik la. Memenuhi segala kehendak pelanggan. Driver pun tak buat muka kerek. Tak macam sesetengah teksi kat Malaysia, eh?

Meal of the Day:

Bakso! Siapa yang tak pernah dengar pasal bakso? Ha! Mesti yang tak pernah tahu dan dengar perkataan bakso ni adalah golongan yang tak pernah pergi ke pasar malam. Ni ada gambar bakso kat atas ni. Serius sedap! Kandungan dia adalah ketulan sapi (daging lembu)/ ayam bersama mi kuning atau mi bihun atau bakmi (semacam maggi). Sedap dimakan ketika lapar. Untuk gambaran lebih dekat, boleh tonton cerita Ketika Cinta Bertasbih 2; ada istilah Bakso Cinta!

Day 2

Semalam, ada terniat nak gerak dengan sahabat-sahabat lain ke kampus. Namun, apakan daya, jetlag rasanya. Hehe. Maka, berseorangan la aku di rumah, sambil mengira bunyi krik krik sayap cengkerik.

Waktu malamnya, aku dibawa oleh sahabat ke pesta kakibola. Kakibola sejati tak mengenal erti pandai main, pandai bawak bola, pandai gentel. Asalkan ada bran untuk masuk gelanggang, anda adalah kaki bola sejati. Dan inilah permainannya. Futsal!

Kotaraya Jakarta

Info Trafik:

Untuk mengelak kesesakan lalulintas di seluruh dunia, ada kenderaan yang dicipta untuk memudahkan seseorang tiba ke destinasi dengan lebih cepat. Misalnya, di India, adanya auto. Di Thailand, adanya tuktuk. Dan sebagaimana di Indonesia pulak, adanya bajai. Bajai boleh dinaiki oleh penumpang seramai 4-5 orang maksimum. Jangan risau, pemandu bajai ini memang mahir dalam selit menyelit di jalan raya seluruh bandaraya Jakarta ni. Walaupun bajai tu sendiri kelihatan barai, tetapkan keyakinan, bahawa anda akan sampai di destinasi dengan selamat. In shaa Allah. 🙂

Ada juga kenderaan yang semacam tramco di Mesir di Indonesia ini, yaitu angkot. Angkot; tidak ada kaitan dengan perkataan tersangkut, apatah lagi Angkor Wat; merupakan singkatan kepada Angkutan Kota. Mudah dinaiki di mana-mana, melalui jalan-jalan sukar untuk tiba ke penghujungnya. Duduk rapat-rapat menjadi mottonya. Namun awas, tetapkan iman dan wang tambang ketika menaikinya.

Day 3

Hari ini hari Jumaat. Aku bangun dengan penuh bergaya, menuju ke bilik mandi, bersiap dan bersarapan. Berjalan-jalan anak menuju ke kampus.

Tiba-tiba pandangan aku terhenti seketika; tatkala melalui sebuah anak sungai dalam perjalanan ke Ukrida. Bukan isu sungai yang aku pandang itu adalah sungai, atau bau yang menusuk lubang hidung yang menjadi persoalan, tetapi biji mata aku terpanah pada kelibat beberapa orang penduduk tempatan yang sanggup masuk dan meredah anak sungai tu. Tujuannya adalah semata-mata mengutip buangan sampah yang boleh dijadikan sebagai punca rezeki; misalnya botol-botol plastik, bekas-bekas kaca, plastik atau sebagainya.

Terdetik di hati, bagaimana dengan sikap sesetengah orang yang suka membazir rezeki yang sudah ada di depan mata hatta berbelanja dengan amat sungguh boros sekali sedangkan ada lagi orang di sudut bumi yang lain berusaha bermati-matian untuk mendapatkan sesuap nasi dan setitik air bersih untuk diminum. Jom, muhasabah diri.

Lepas tamat kuliah di kampus, bergegas aku pulang ke rumah untuk bersiap-siap untuk solat Jumaat pula. Memandangkan di sini waktu Zuhurnya sedikit awal berbanding di Malaysia, mahu tidak mahu terpaksa juga aku mencepatkan pergerakan menuju masjid.

Di sini, khutbah yang disampaikan adalah menarik, tidak membaca teks, berilmiah dan mengikuti perkembangan semasa. Nak hurai panjang-panjang pun tak boleh jugak, sebab dah lupa apa tajuk dia. Haha (post ni ditulis seminggu selepas trip ke Indonesia).

Lepas solat Jumaat, kami bersiap-siap untuk ke Stasiun (Stesen) Kereta Api di Jakarta. Destinasi kali ini, Bandung!

***

Bandung

Kami mendaratkan tapak kaki kami di atas bumi Bandung selepas hampir 5 jam perjalanan menaiki kereta Avanza. Perjalanan sejauh 166 km dari Jakarta berakhir selepas kami selamat tiba di Bukit Dago Hotel di Bandung. Usai semak masuk (check-in) dan bersolat, terus kami melangkah ke premis perniagaan berdekatan untuk men-shopping!

Info Trafik:

Di sepanjang perjalanan, kelihatan banyak masjid yang tersergam indah di perhentian rehat dan rawat. Masjidnya pula dibina indah dan kelihatan lawa. Ruang solat, bilik air dan berbagai kemudahan lain dijaga dengan baik oleh autoritas. Respect!

Day 4

Bandung

Setelah misi shopping #1 berakhir semalam, kami meneruskan permusafiran di bumi Bandung. Sebelum tiba di tanah Indonesia lagi, memang niat aku untuk melihat sendiri keajaiban tanah gunung berapi yang dikatakan mati; yaitu Tangkuban Perahu. Seperti dijanjikan, pak supir yang telah menunggu kami di pekarangan hotel tepat jam 8 pagi.

Tangkuban Perahu, tangkapan oleh Mr Google

Tangkuban Perahu, tangkapan oleh Mr Google

Perjalanan dimulai dengan bacaan doa (doa jangan dilupa yaw!). Terus saja kami dibawa ke Tangkuban Perahu. Semasa perjalanan, pandangan kami disajikan dengan pemandangan yang tercantik iaitu lukisan Ilahi. Gunung-gunung yang berdiri megah, rumah orang tempatan di kaki bukit bersama tanam-tanaman mereka yang subur, menghijaukan lagi bumi yang sudah lama rindu akan ketenangan, benar-benar menggamit rasa untuk terus tinggal di bumi Indonesia ini.

Setibanya di kawasan Tangkuban Perahu, kami dikejutkan dengan sungguh terkejut. Manakan tidak, mati hidup kembali!

Ya, mati hidup kembali. Cumanya, bukan manusia, tetapi gunung berapi tersebut yang sudah dikatakan mati, tiba-tiba melaporkan bahawa terdapat aktivitas letusan, lantas kawasan rekreasi berkenaan tidak boleh dikunjungi selama seminggu. Maka-makanya, hati aku remuk dan renyuk; ghonyok macam kertas gitu. Tak dapat nak beramah mesra dengan sulfur yang ada kat sini.

Namun, perjalanan mesti diteruskan. Destinasi seterusnya, Hot Spring Sari Ater!

Hot Spring Sari Ater

Misi menggantikan kedukaaan bermula. Masuk je ke dalam kawasan ni, boleh nampak kawasan ni penuh dengan orang. Tambah pulak, weekend kan, so semua orang berpusu-pusu mengunjungi kawasan ni. Lupa dah berapa caj untuk masuk ke dalam kawasan ni, tapi affordable lah!

Kat dalam ni, ada macam-macam aktivitas yang boleh dibuat. Misalnya, memanah, rendam kaki dalam air panas (nama pun hot spring), berkelah, berflying fox, naik adventure car dan memacam lagi. Nah, tengok gambar sekali bagi puas. Haha

Memanah!

Memanah!

Rendam kaki dalam Air Panas yuk!

Rendam kaki dalam Air Panas yuk!

Iklan sahaja; Minum sunat duduk. :D

Iklan sahaja; Minum sunat duduk. 😀

Pemandu Berlesen

Pemandu Berlesen

Ops, he did it again!

Ops, he did it again!

Eh, yang kat atas ni bukan aktiviti dia tau!

Ni yang orang putih kata, Karma Effect. Hehe. Kat track go kart off road ni, ada dua laluan yang berbeza yang boleh dilalui oleh pemandu. Mengikut akhbar tempatan, pemandu yang terlibat dengan kemalangan ni dilaporkan telah melakukan dua kesalahan iaitu mengucapkan perkataan yang tidak elok dan berbaur sindiran kepada pemandu yang lain. Kesan daripada kemalangan ini, pemandu berbaju hijau itu dijumpai menerima 3 kesan calar di lengan dan siku kanan. Walau bagaimanapun, menurut kata hati beliau, beliau masih lagi ingin memandu jentera berat tersebut dan akan menjaga pertuturan baik kepada kawan atau lawan.

Bandung Floating Market

Kita beralih daripada Hot Spring dan kejadian kemalangan yang mencurigakan tersebut. Kali ini, kami berada di Floating Market.

The driver consoled himself with cotton sugar (gegula kapas)

The driver consoled himself with cotton sugar (gegula kapas)

Floating Market ni bukanlah semacam yang ada di Venice atau di sepanjang Sungai Mekong atau sebagainya. Di sini, anda akan dapat lihat penduduk tempatan yang menjual pelbagai barangan khususnya makanan di atas perahu kecil di sekitar tasik ini. Pembeli yang berminat akan melalui kaki lima di bawah teduhan untuk membeli makanan atau minuman yang dikehendaki. Bagi yang tak berminat, boleh jalan cepat-cepat, pergi tempat lain. Ha, kat sini jugak ada angsa ganas!

Meal of the Day:

Nasi Timbel dengan Ayam (*kot). Nah, bagi gambor sekali, biar paham macam mana nasi timbel demikian. Kat dalam daun pisang tu, nasik putih yang dimasak yang berbau daun pisang. Ada ketulan ayam, keropok, sup asem (sup sayur yang rasa masam-masam), potongan kobis dan sambal. Lebih menarik, kat dalam sambal tu ada biji terung. Haa, selamat makan terung dan menjerung!

Goa Jepang & Goa Belanda

Perjalanan diteruskan ke tempat tinggalan perang Indonesia dengan tentera Jepun dan Belanda. Di sini, terdapat dua gua yang boleh dilawati, iaitu Gua Jepun (Jepang dalam bahasa tempatan) dan Gua Belanda.

Gua yang akan mula-mula ditemui ialah Gua Jepun. Menurut papan tanda yang berdekatan, gua ni mempunyai 6 pintu masuk (termasuk satu pintu masuk utama) dan 2 ventilasi di setiap hujung kiri dan kanan pintu masuk ke dalam gua. Sebagaimana yang kita tahu, dah namanya gua, semestinya gelap kan. So, sediakan lampu suluh atau handphone yang ada bateri untuk menerangi jalanmu. Kalau tak, takut-takut nanti hantu Jepun yang tolong suluhkan, hah! 😀

Dalam Gua Belanda

Dalam Gua Belanda

Lebih kurang 500 m daripada Gua Jepun ni, adanya pulak Gua Belanda. Gua Belanda ni ada satu pintu masuk yang besar dan pintu keluar di hujung laluan sepanjang pintu masuk ni. Terdapat jugak 2 ruang ventilasi gua yang bertujuan untuk membuang haba berlebihan di dalam gua. Gua ni jugak didapati lebih besar dan tersusun berbanding Gua Jepun. Menurut kata En. Papan Tanda di luar gua, gua ini dahulu merupakan kawasan tapisan air (kalau tak silap; yang pasti bukan empangan) semasa pemerintahan British dulu. Tambahan, gua ini jugak merupakan bekas tempat operasi Tentera Bersekutu (team Amerika Syarikat dan sebagainya; baca balik sejarah. Hehe).

Yang menakutkan, di gua ni, masih ada lagi besi dan jeriji yang bergantungan pada siling dan dinding. Besar kemungkinan, di sinilah juga tempat tahanan dahulu diseksa dan dimacam-macam. En. Papan Tanda pun telah memastikan bahawa gua ni dijadikan sel tahanan ketika dulu-dulu. So, what do you think?

Cihampelas Walk

Usai melawat tempat yang berteraskan alam semula jadi, kini kami kembali semula ke kawasan yang membebaskan ion positif. Bandar Bandung yang penuh sesak, menyebabkan macet berleluasa, di mana-mana, bila-bila masa.

Cihampelas Walk ni sebenarnya shopping mall, kalau di Malaysia macam Wangsa Walk gitulah. Cumanya, kat sini ada jualan murah dekat sekitar mall ni. Jualan tepi kaki lima cenggitu je, tapi harga dia boleh tahan lah. Tak murah sangat dan tak mahal sangat. So, boleh la berkunjung kat sini kalau nak jalan-jalan ke Bandung tu ye.

Info Grafik:

Di Indonesia ni, papan tanda dia tu amat kreatif. Ada yang berbentuk arahan, amaran dan peringatan, tapi bila dibaca ada unsur-unsur perli, lawak dan jenaka. Contohnya, di Hot Spring Sari Ater, ada sebatang sungai yang mana pengujung tidak dibenarkan mandi; terdapat papan tanda ‘AIR INI TIDAK LAYAK UNTUK BERENDAM’. Di Masjid Istiqlal di Jakarta, sign ‘TAS/ BEG WAJIB DITITIPKAN DI SINI’; tika mana beg perlu (tidak sampai tahap wajib dan berdosa) untuk ditinggalkan di tempat yang terjaga.

Yang lain, di Kedai Makan Mbah Jingkrak di Jakarta; sign ‘DI SINI MAKAN BANYAK TIDAK DIMARAHI’ dan di iklan di belakang bas tertera pesanan yang bermaksud ‘MEROKOK ITU MEMANG SEORANG, TAPI YANG MATINYA RAME-RAME!’

Day 5

Bandung

Disebabkan keletihan yang amat semalam, maka pagi hari ini, telah dimulai dengan tengah hari. Maka dan makanya, perjalanan kami disambung untuk pulang ke Jakarta.

Depan Stasiun Bandung

Depan Stasiun Bandung

Menurut senior UKRIDA, kata beliau, kalau nak ke Bandung, memang seronok kalau naik kereta api. Sebabnya, dalam perjalanan tu, boleh tengok pemandangan yang memang cun. Bukit-bukit yang tersergam utuh, ada anak sungai pulak mengalir di bawah kakinya, memang mempesonakan. Untuk view ni, tak ada gambar yang sendiri tangkap pulak. Mungkin boleh imagine sendiri lah kot. Ni aku bagi clue.

Jakarta

Lepas naik dan berstory-story dengan pemandu pelancong di seat sebelah (walaupun tanpa nikmat suara seketika), kami lena dan nyenyak dengan ranum hingga di destinasi. Sedor-sedor, selepas tiga jam, Alhamdulillah, selamat juga sampai di Stasiun Keretapi Gambir, Jakarta.

Bagi mengisi kekosongan yang ada, kami bertujuh melengkapkan jadual dengan perjalanan buat kali terakhir; yaitu menuju ke kedai makan Mbah Jingkrak yang terletak di Jakarta (Jakarta Pusat; kalau tak silap). Ha, kali ni kedai makan dia special sikit; sebab kedai ni menyediakan banyak makanan yang dikategorikan sebagai makanan halus dan dikehendaki polis.

Menu yang ditelan pada petang ini; tak jauh beza dengan di Malaysia; semacam ayam bakar, ikan bilis manis, sayur terung. Makanan makhluk halus pulak; Sambal Iblis. Hah! Sambal Iblis ni memang terkenal dalam kalangan orang Malaysia dekat sini, sebab tahap kepedasan dia tu sampai peringkat ibli*. Pedas gila. Mungkin sebab tulah nama sambal tu pun ditulis dalam menu dengan nama sedemikian.

Es Ganja; dari Mr Google jugak

Es Ganja; dari Mr Google jugak

Untuk minuman pulak, aku order Es Ganja. Memang high lepas minum ni. Ramuannya adalah, gula melaka yang dicincang halus kemudian ditumbuk sehingga terasa sakitnya. Lalu, dicampur air (pendek cerita; gula melaka yang dah dicairkan dengan air panas la) sehingga larut. Kemudian, ditambah pula dengan sedikit adunan air kelapa dan isi kelapa muda. Rasanya memang sungguh manis; akhirnya akan membuat level glucose akan high, high, high and above!

Masjid Istiqlal

Sebelum tiba di masjid ni, tak perasan pun yang bangunan ni ialah masjid. Sebab, tak nampak ciri-ciri kemasjidan tu. Tapi, mendengarkan alunan suci al-Quran sebelum masuknya waktu Maghrib, dah dapat rasa dah inilah masjidnya. Tambah pulak, ada tertulis di signboard, ‘Masjid Istiqlal’. Takkan nak cakap lagi?!

Masjid Istiqlal

Masjid Istiqlal

Penulis bersama Papan Tanda

Penulis bersama Papan Tanda

Masuk je ke pekarangan masjid ni, dah ternampak dah berduyun-duyun orang yang nak masuk ke dalam masjid ni jugak nak menunaikan solat maghrib. Ada yang bermusafir macam saya, ada yang orang tempatan dan macam-macam lagi. Ha, kat sini jugak, ada sebuah tasik hijau. Hijau tu sebenarnya unintentional. Sayang kan, kalau dijaga, mesti akan jadi satu daya tarikan untuk datang ke masjid ni. Tapi disebabkan keadaannya dah macam ni, ini membahayakan persepsi pengunjung. Lebih-lebih lagi, kepada non-Muslim yang melihatnya, takut jadi fitnah kepada mereka.

Sebelum masuk ke masjid juga, ada orang yang berbisnes plastik hitam. Tujuannya, adalah untuk membungkuskan kasut atau sepatu anda sebelum masuk ke masjid. Sebenarnya, kat dalam masjid tu pun dah ada perkhidmatan penitipan sepatu. Cuma, kalau nak menderma kat makcik-pakcik kat sini, boleh la beli; niat bersedekah.

Untuk makluman, menurut kata seorang sahabat di sini, Masjid Istiqlal ni, ialah masjid terbesar di Asia Tenggara. Bila melangkah masuk ke ruang solat utama masjid ni, memang ternyatalah bahawa masjid ni sememangnya besar. Biasanya, di masjid-masjid sekitar Malaysia, hanya ada setingkat atau 2 tingkat sahaja ruang untuk bersolat (Masjid Shah Alam ada 3 tingkat), tapi di masjid ni ada EMPAT TINGKAT ruang solat. Hah, botingkek tingkek den koba!

Gereja Katedral

Untuk makluman, di hadapan Masjid Istiqlal ni, ada sebuah gereja yang juga terbesar di Asia Tenggara ni yang bernama Gereja Katedral. Usai menunaikan solat Maghrib dan Isyak di masjid, maka kami bersahaja berjalan kaki menuju ke rumah ibadat penganut Kristian yang berdekatan. Di Malaysia, tak berani nak masuk gereja (walaupun memang niat nak tengok-tengok je), sebab takut menjadi fitnah atau jadi bualan orang. Lagi takut, masuk paper; ‘Remaja Melayu amal Pluralisma’. Nauzubillahi min zalik.

Haa! Yang menarik pabila dua rumah ibadat ini berdekatan, adalah mengenai toleransi dan kerukunan yang diamalkan oleh kedua-dua agama. Menurut sahabat atau pemandu pelancong di sini, katanya, apabila hari Jumaat, pekarangan gereja akan dibuka kepada awam untuk parkir jemaah masjid yang membanjiri Masjid Istiqlal. Dan perkara yang sama berlaku pada hari Ahad, yang mana masjid pula akan membenarkan penganut Kristian untuk menggunakan parkir lot di kawasan masjid. Sungguh toleran kan gitu?

Saat melangkah masuk ke dalam gereja, berdebar pulak rasanya. Memang tak lekang dek bibir dari mengucap selawat banyak-banyak, moga terlindung daripada fitnah dan bala Allah. Masa kat dalam tu, boleh tengok bermacam orang dengan bermacam reaksi. Ada yang fokus berdoa, ada yang tengah melutut, ada yang duduk diam-diam, ada yang tengah buat wish di depan lilin dan sebagainya. Rasa macam dalam filem Hollywood pulak.

Dan kebetulan masa tu ialah hari Ahad, jadi setiap bangku di dalam gereja tu sedang dipenuhi oleh penganutnya. Melihatkan pasukan koir pun sedang mengisi tempat duduk di bahagian hadapan, kami pun bergegas mencabutkan diri meninggalkan dewan gereja tu. Sebabnya, bila seseorang tu dah berada di dalam dewan semasa majlis bermula, maka dia tidak boleh meninggalkan dewan tersebut dan mesti menunggu sehingga tamat majlis.

Bagi yang tertanya-tanya pasal hukum orang Islam masuk ke dalam gereja, mungkin boleh refer ni. Cadangan gua, tak perlu lah kot masuk; kalau boleh elakkan. Takut terfitnah atau terapa-apa kan. Lebih-lebih lagi, gereja di Malaysia ni. Media merata tempat. Haha

Ancol

Ancol ni merupakan satu kawasan yang besar di bahagian utara Jakarta, yang juga berhampiran dengan kawasan pantai. Di dalam Ancol ni, ada macam-macam theme park yang boleh dilawati, macam Dunia Fantasi (DuFan) dan macam-macam dunia lain kecuali dunia burung. Tapi memandangkan dah sampai sini tengah-tengah malam gini, dan duit dalam poket pun dah kering, maka bersiar-siarlah kami di sini dengan hati senang.

Hati senang

Hati senang

Selepas makan malam, kami berjalan-jalan kaki dengan girang bermula dari kawasan Taman Impian Jaya Ancol hingga ke sebuah hotel yang tidak diketahui namanya. Kelihatan jugak, berpasang-pasang manusia tengah berpacaran; mungkin sudah suami isteri agaknya (2% husnuzon). Bila berjalan kawasan tu, rasa macam geng pencegah maksiat je. Hah

Sampainya kami di hujung kawasan yang tidak dipastikan identitinya, kami melunaskan hajat dengan membayar bot sebanyak 100k Rupiah untuk trip naik bot sehingga ke hujung kawasan pinggir laut tu.Nak cakap pun tak ada feel ni, tengok gambar la. Jejom!

Penulis bersama Pengemudi Bot Warga Tempatan (sebelah kiri)

Penulis bersama pengemudi bot warga tempatan yang sedang duduk

Lepas naik selebih kurang 20 minit lamanya, kami beransur turun dari bot dan memulakan jalan pulang. Tanda menguap ketika menaiki bot bagaikan isyarat perjalanan jauh hari ni sudah sampai ke garisan penamat. Jam 1 pagi, kami tiba di Tanjung Duren.

Day 6

Tanjung Duren

Sepertimana hari-hari letih aku dan kelas-kelas mereka yang lain, aku berseorangan lagi di bilik. Kali ni, dengan sedikit niat menonton SuperSpontan, maka sedikit sebanyak tidakla sebosan yang dibayang-bayangkan tanpa sahabats tersayang.

Petang itu, aku dan lain-lain, berjalan kaki menuju ke dewan badminton; sekaligus menggamit kenangan silam beraket bersama di dewan raket di INTEC. Memang, dulu biru, sekarang hijau (warna gelanggang; baca tanpa unsur politik ya), tapi aksi di gelanggang masih lagi bertenaga. Umpama aksi Taufik Batisah menentang Lin Tang. Peluh menitik-nitik tanda gumbira, sesekali bergilir aksi rally antara regu utama 1 dan 2, menandakan badan semakin sihat walaupun tanpa hadirnya suara.

Kota Tua

Dan malam itu, aku ke Kota Tua, kota peninggalan sejarah; yang pernah menyaksikan datangnya orang berkulit merah menjajah dan meratah bumi Indonesia dengan penuh serakah. Dikhabarkan jua, kota tinggalan bermuka Melaka ini keras juga; bukan dek binaan batuannya yang menyerikan tetapi gelap disinar lampu neon yang malap yang mengerikan.

Kota Tua di waktu malam

Kota Tua di waktu malam

Di sini juga, aku dihidang dengan menu masakan yang gila yaitu Nasi Goreng Gila. Tak tahu celah mana yang datangnya gila itu, aku hanya mengunyah makanan yang disuap, berselang dengan desingan kepak nyamuk di corong telinga, bersisipkan pantun memantun di atas bangku kayu lama.

Santapan Hari Ini:

Ice Cream Durian

Ice Cream Durian

Di Kota Tua ini, aku telah diduriankan dengan memakan aiskrim durian yang enaknya bukan kepalang. Walau asalnya aku bukan penggemar raja buah, tetapi di saat aku menelannya satu persatu, bit by bit bak kata orang putis, rasa indah bagai di kayangan aiskrim durian itu.

Dan entah kenapa juga, hari keenam ini aku tulis dengan gaya bahasa ini. Entah, aku entah.

Day 7

Hari ini genap seminggu aku bercengkerama di bumi Jakarta ni. Ha, berita baik, harini aku berjaya makan bubur di kedai dorongan. Yeah, seminggu tanpa diare aka Cherry Berry; Alhamdulillah dan terima kasih rakan-rakan!

Dan tanpa berjela-jela lagi sembang, aku terus ke Bandara untuk pulang. Cumanya, dalam diam tak diam, sebak jugak nak tinggalkan sahabat-sahabat yang telah banyak berkorban untuk aku; ada yang tak pergi kelas, ada yang tukar jadual, ada yang habiskan duit banyak belanja saya, ada yang belikan sarapan, yang tumpangkan tempat tidur, yang bagi pencuci muka, syampu, sabun, ubat gigi dan sebagainya. Terharu gua; tak larat nak tulis semua.

Jadi dan jadinya, terima kasih buat semua. Yang baik datang daripada Allah, yang buruk jua dari Allah tapi ditaklifkan atas kelemahan diri sendiri.

***

Untung dapat datang ke Indonesia.

Orang bila kahwin dapat jadi raja sehari, aku belum kahwin lagi dapat jadi raja seminggu dah.

Thanks kalian!

***

Number 8th and keep counting. #9 Makkah, in shaa Allah 🙂

Advertisements

6 thoughts on “#8 Indonesia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s