Kalau Kau Pendakwah

Jangan berani bertanya,
kalau kau belum sedia untuk tahu jawapan.

Dunia sekarang ni memang suka menghukum.

Katanya, kau tu daie.
Tiap-tiap hari kau tak lekat di rumah. Tiap-tiap saat, masa kau dihabiskan untuk berdakwah katanya. Tiap pengisian kau pergi, tiap majlis bedah kitab ada muka kau, tiap kali usrah kau datang paling awal. Katanya, kaulah yang dikata ‘Sang Daie’.

Kau damba kesempurnaan.
Ya, dalam dunia kebaikan, dalam agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW; tidak ada satu pun yang ada cela dan cacat; melainkan yang membawa agama ini ialah manusia; yang dicipta lemah dan tidak maksum. Setiap hari ada sahaja palitan dosa pada hati. Ya, manusia yang aku sebut ini ialah yang membaca huruf-huruf ini; kau dan aku.

Kau harapkan kesempurnaan.
Tidak salah untuk kau harapkan kesempurnaan pada semua benda yang kau lihat. Sedarilah, manusia ini tidak akan pernah sempurna sehingga kau menutup mata. Mungkin bagi kau, kau mampu bawakan yang lebih baik dari itu, tapi bukan dari dia atau aku. Aku bukan sempurna; dan kau juga tidak sempurna.

‘Perfection is the enemy of done’

Sang Daie.
Kau jaja setiap hari dalam tutur katamu. Kau tunjuk setiap hari dalam setiap lentik tubuh badanmu; yang kau ini sang pendakwah. Berhati-hati dalam memuji, manis pada bibir dalam senyuman, dada kau tepuk tanda ‘salamatus sadri‘, detak perkataan ‘Takpa, untuk enta’ kau sebut. Tapi dalam hatimu siapa yang tahu. Dalam hatimu itu hanya Dia yang tahu; sepertimana Dia yang tahu isi hati kau dan isi hati aku.

Kau berjalan pulang.
Sosek-sosek kau kutip sepanjang jalan. Kau dengar, kau fikir, kau jadi hakim. Ini salah dan ini betul. Sang pendakwah mula bertukar menjadi qadi. Kau hukumkan ini haram, kau hukumkan ini halal. Yang baik pada pandangan mata kau, mesti hukumnya jadi baik-baik sahaja sepanjang hayat. Sekali buat salah, kau terus jatuhkan hukum padanya. ‘Kau adalah manusia yang paling teruk pernah aku jumpa’.

Sedarilah.
Kau juga manusia. Ramai pendakwah hari ini bertukar menjadi hakim. Sang pendakwah mengajak manusia untuk terus-menerus dalam melakukan kebaikan. Kau bukan hakim; yang mana kau jatuhkan hukum padanya lalu kau tinggalkan dia dihukum dalam sepi oleh masyarakat. Kalau kau pendakwah, tegurlah dengan baik dan bijak. Kalau kau pendakwah, benar kau mengajak ke arah kesempurnaan, tapi kau juga perlu sedar dan tahu bagaimana cara untuk menerima kekurangan.

Sedarilah.
Kau juga manusia. Apa kau suka jika kau lalui hidup dengan pandangan sinis masyarakat? Apa kau suka jika kau hidup dengan manusia lain yang berwajah kosong yang melirik senyuman palsu; sedangkan hatinya penuh dengan karat benci? Apakah kau mampu untuk terima bahawa sahabat yang kau sangka; sebenarnya sedang menanam benih kebencian dalam hatinya?

Bagaimana mahu mencapai ithar;
kalau di dalam hati, kau masih belum mampu untuk berlapang dada;
menerima kelemahan dan kekurangan sahabat seperjuanganmu?

Apa kau kira kau sudah mampu mencapai tahap serendah-rendah ukhuwah,
jika kau hanya mampu berlapang dada menerima kebaikan daripada bersahabat
tetapi bukan menerima keburukan?

Menerima bukan bermaksud bersetuju.
Ya, amar makruf nahi munkar. Aku tidak kata kau patut bersekongkol sama melakukan maksiat. Yang aku mahu, kau terima kekurangannya, sepertimana kau mahu manusia lain menerima keburukanmu. Yang aku mahu, kau bersama-sama dengan dia, dalam bahtera yang sama menuju ke destinasi yang kita semua inginkan. Jika ada yang salah, kita baiki. Jika ada yang jatuh, kita sama-sama bangkit. Ini bukan perlumbaan mencari juara, ini perjalanan panjang merentasi samudera.

Kalau kau pendakwah.

Bukan Penghukum

***
Pissed off of people with fake smiles,
they cheer while we were
they jeer while we weren’t.

Advertisements

2 thoughts on “Kalau Kau Pendakwah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s