Ada Apa dengan ‘Mati’?

Mati.

Satu perkataan mudah, yang padanya ada pelbagai hikmah. Kerana yang hidup sudah dijanjikan kematiannya, baik sebelum daripada kewujudannya lagi. Kerana yang ada, ditiadakan; melalui proses yang dinamakan ‘kematian’.

***
Mati adalah perpisahan.

A185

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Ali Imran : 185)

Mati memisahkan kehidupan di dunia dan kehidupan di sana. Dengan adanya mati, maka ramai manusia yang lebih terpedaya dengan kehidupan di dunia. Mereka takutkan mati, kerana percaya bahawa hidup hanya sekali. You only live once, kata mereka. Jadi hal yang demikian, mereka lebih suka memilih kehidupan yang nista berbanding kematian yang pasti.

Kematian memisahkan dunia dengan akhirat. Berapa ramai yang masih lagi terlena dengan kehidupan di dunia, sedangkan kematian mungkin datang bila-bila masa.

Benarlah kata-kata Saidina Ali RA, “Ramai manusia yang semasa hidupnya mereka terlena, hanya selepas kematian barulah mereka terjaga”.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang lena dalam jaga, ‘mati’ sebelum mati.

***
Mati adalah ujian.

Baru-baru ini, beberapa orang sahabat telah diuji dengan kematian ahli keluarga yang rapat. Menjadi fitrah makhluk bergelar manusia, perasaan sedih dan sayu apabila diuji kematian tidak dapat dinafi.

Bersedih atas ujian, tidaklah salah pada agama; tetapi bagaimana kita; golongan yang masih tersisa di muka bumi ini mengambil pengajaran atas sesuatu kematian perlu dititikberatkan.

Yang mati, tetaplah mati; meninggalkan yang hidup meneroka jalan mencari Ilahi. Mereka yang mati sudah menemui jalan pulang yang sebegitu, maka perlu jadi persoalan; adakah jalan pulang kita nanti juga secantik dan sebahagia itu?

Hassan al-Basri pernah menyebut, “Kamu adalah himpunan hari-hari. Setiap hari berlalu, maka berlalulah sebahagian daripada kamu,”

Semoga ujian dan perpisahan dengan orang yang kita sayang, menjadikan kita lebih dekat dengan Tuhan. Semoga senantiasa dalam amalan baik kita, pahalanya disedekahkan kepada yang telah pergi; semoga dalam setiap titipan doa, selalu ada nama untuk mereka yang terlebih dahulu menemui Rabbi.

***

Mati adalah peringatan.

Dalam agama Islam sendiri, umatnya selalu diberikan peringatan. Baik langsung atau tidak langsung.

Setiap hari, umat Islam akan diberi peringatan untuk menghadap Ilahi lima kali sehari. Dengan panggilan azan, umatnya akan segera meninggalkan segala pekerjaan lalu berdiri teguh untuk mendirikan tiang agama.

Setiap minggu, umat Islam juga diberi peringatan melalui ucapan-ucapan di mimbar semasa solat Jumaat. Melalui setiap lafaz yang diungkapkan, terkandung pelbagai peringatan; baik kepada diri sendiri, keluarga atau perihal yang lebih umum seperti yang bersifat negara.

Setiap tahun, umat Islam juga diberikan peringatan, melalui adanya perayaan-perayaan yang disambut oleh orang Islam. Baik Ramadan, yang mengingatkan kesedaran betapa peritnya hidup sang miskin; atau pada bulan Zulhijjah, yang menghimpunkan jutaan manusia di Arafah; seolah-olah memberi gambaran tentang adanya himpunan di padang Mahsyar dan juga pada hari raya Qurban, yang memberi pengajaran tentang pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam mengerjakan taat setianya kepada Allah SWT.

Dan sesungguhnya, mati juga adalah peringatan. Satu peringatan kepada manusia untuk sentiasa tekun dalam mengerjakan ibadah, teguh melawan nafsu dan tetap juga dalam melaksanakan apa yang telah disyariatkan.

***
Mati adalah ketetapan.

Apabila tiba saat kematian, mustahil bagi seseorang untuk menunda-nunda atau mempercepat tempohnya walau sesaat.

A061

Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.
(An-Nahl : 61)

Sebelum terwujudnya jasad, sudah ditulis beberapa perkara rahsia semasa penciptaan. Sudah ditetapkan berapa banyak rezekinya, dengan siapa jodohnya, dan tidak kurang juga telah direkam bila saat kematiannya.

Sungguh, perkara-perkara ghaib seperti ajal, rezeki dan jodoh ini; masing-masing saling mencari siapakah pemiliknya. Misalnya, ikan di laut dalam, dengan susah dan payahnya untuk ditangkap; akhir sekali dihidang menjadi santapan. Jodoh, mungkin meski berbeza benua, akhir sekali dipertemukan dengan pelbagai cara sebagai pasangan.

Begitulah jua ajal. Apabila sudah tiba saatnya, maka dinding yang sekukuh mana pun tidak jua dapat menghalang, pintu yang dikawal juga dapat ditembus. Tetap juga ia datang tanpa pernah memberi amaran.

Dan sungguh, orang yang bijak adalah orang yang paling banyak mengingati mati.

***
Mati adalah harapan.

Dengan adanya kematian, maka wujudlah juga harapan pada kematian. Harapan supaya segala penderitaan di dunia diganti dengan ketenteraman di sana, harapan supaya jika gembiranya hidup di dunia, diberi lebih keseronokan berbahagia yang tidak pernah tergambar di sana.

Pada kematian juga adalah motivasi.

Motivasi supaya hari ini lebih baik daripada semalam,
dan esok lebih baik daripada hari ini.

Mati.

Hope-2-570x379

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s