Suami: Di sisi isteri atau Keluar mencari rezeki?

Jadi suami ni bukan benda mudah.

Banyak hati yang perlu dijaga. Hati ibu bapa, hati isteri, hati anak-anak.

Kemudian, barulah hati diri sendiri.

Susah kan? Nak kena fikir hati dan perasaan orang lain dulu.

Suami pun ada perasaan jugak.

*****************************

Bila sebut tanggungjawab suami, mesti perkara yang pertama terlintas di benak fikiran korang ialah:

Cari nafkah.

Dilema kan, bila mana suami yang sepatutnya cari nafkah untuk keluarga, terpaksa duduk rumah untuk jaga anak.

Bukannya suami tak ada pendidikan, bukan tak ada peluang pekerjaan, cuma atas sebab kasihankan isteri dan anak-anak, dia terpaksa duduk di rumah untuk jaga anak.

Isteri pula yang pergi kerja cari duit untuk tanggung keluarga.

Akhir zaman memang manusia semua jadi terbalik macam ni ye?

**************************************************************

Ada satu kisah benar.

Suami bekerja, isteri juga bekerja. Isteri sedang hamil dan dalam tempoh lagi sebulan, si isteri tu akan bersalin anak kedua.

Suami ambil keputusan untuk berhenti kerja atas sebab nursery dekat dengan tempat kerja isteri hanya terima baby yang usia 3 bulan ke atas.

Suami beranggapan, kerja yang sesuai dengan jawatan yang sedia ada, ada di mana-mana, termasuklah di tempat yang berhampiran dengan rumah mereka. Sebelum ini, mereka berpisah antara negeri.

Isteri setuju dan menyokong tindakan suami untuk berhenti kerja. Suami pula yang dah nekad ni yakin yang tindakan tu dapat sokongan keluarga.

Yalah, resign pun sebab nak jaga anak kan. Bukannya saja-saja nak berhenti kerja. Lagipun, suami ini ada buat bisnes online juga. At least, tak lah semua income isteri yang cari.

Seperti yang tertulis pada takdir, si isteri selamat melahirkan bayi lelaki. Suami dan isteri sangat gembira dengan kelahiran kedua mereka.

Majikan isteri hanya benarkan beliau ambil cuti bersalin selama 60 hari. Sepatutnya staf kerajaan dapat 90 hari kan, tapi entah apa puaka bos beliau bagi cuti 60 hari je. Siap sebut lagi, ‘dulu masa saya bersalin okay je’.

Tolak sebulan berpantang di rumah mentua, tolak setengah bulan berpantang di rumah sendiri, tambah lagi 2 minggu cuti sebelum bersalin, habislah cuti bersalin yang 60 hari tu.

Isteri pun kembali lah ke tempat kerja, dengan keadaan yang tak fully recovered. Kebetulan pula, masa tu beliau ditempatkan di department yang memang busy, tak ada support system, toxic environment, colleague yang macam laha*** nak lepaskan diri memasing, gaji pun kurang sebab tak dapat elaun (HR yang salah), hasilnya terjadilah keadaan di mana isteri sangat demotivated dan exhausted. Physical dan mental.

Dalam tempoh sebulan selepas kembalinya ke tempat kerja, isteri sangat demoralised, rasa macam nak give up. Setiap kali pergi kerja, rasa macam nak resign saja. Nasib baik isteri ingat riak wajah maknya, yang gembira bila dialah satu-satunya anaknya yang kerja kerajaan.

Isteri keluar kerja pukul 6.30. Balik pukul 10, 11 malam. Hampir setiap hari. Bila sampai rumah pula, ada anak yang perlu dilayan. Kebanyakan masa, balik mesti dengan masalah. Kena marah dengan bos, kena game dengan colleague, dan assignment dan presentation yang tak berkesudahan.

Bayangkan apa yang suami boleh buat pada waktu ni?

Bagi moral support, bagi tips dan advice untuk lebih bersemangat dan organise di tempat kerja, dan yang paling penting, tunaikan tanggungjawab sebagai seorang ‘sura rumah’ – basuh baju, lipat baju, sapu rumah, masak, suap anak-anak, cuci tandas, buang sampah dan lain-lain.

Isteri penat di tempat kerja, balik rumah saja terus tertidur kepenatan.
Suami penat di rumah, tak pasti sama ada terlebih buat kerja atau stres sebab buat benda yang sama saja – tanpa komunikasi dengan orang lain, kecuali baby dan anak pertama.

Keadaan ini berterusan sampai 4 bulan.

Isteri pergi kerja, balik penat. Isteri kata, dia sangat hargai kehadiran suami di sisi. Dia sangat berterima kasih kepada suami, kerana sanggup bersabar.

Suami pula duduk di rumah. Stres duduk saja di rumah – walaupun buat kerja rumah yang wajib. Bayangkan duduk di rumah tanpa komunikasi fizikal, yang ada hanyalah texting by WhatsApp dan FB.

Dalam diam, suami dah develop mild depression.

Kata orang, memang seronok duduk rumah dapat jaga anak.

Kata orang lain pula, apa ni suami duduk di rumah. Pergilah kerja, kan itu tanggungjawab ketua keluarga.

Suami ada isteri yang perlu dia jaga. Suami ada anak yang perlu dia beri kasih sayang. Suami perlukan duit untuk beli keperluan asas rumah.

Bukankah tanggung keluarga itu tanggungjawab suami?

*****************************************************

5 bulan sudah berlalu.

Suami mula mencari pekerjaan. Bukanlah dia tidak berkelayakan, cuma sebelum ini masanya dihabiskan untuk menjaga anak keduanya itu.

5 bulan, kiranya mana-mana nursery pun dah dapat terima untuk dihantar.

Tiba pada suatu hari, suami dapat tawaran untuk bekerja, di sebuah syarikat multinasional yang berpusat di ibu kota.

Girang hati suami kerana ditawarkan satu peluang yang sukar untuk dilepaskan. Kerja yang setaraf dengan bidang yang diambil, gajinya pula sekitar yang diidamkan, tinggal lagi kerelaan hati isteri untuk beliau berhijrah sementara.

Khabar yang baik pada telahan suami rupanya satu berita yang mengguntur hati isteri. Disangkanya mahu berangkat pergi kerana tidak lagi sanggup menahan sabar sehingga isteri tamat tempoh latihan setahun.

Dilema pada hati suami, mahu berhijrahkah atau mahu terus saja jadi suri rumah?

Anak-anak pasti merindukan bapanya, tatkala keperluan bulanan mereka juga semakin meningkat. Jadi perlu juga untuk bapanya itu bekerja.

Bukan sengaja sang suami ingin berangkat pergi, tetapi di tempat sekitar itu tiada ruang dan peluang untuk beliau menabur bakti.

Ikutkan hati, mahu saja diangkat semua pergi, tetapi harapan mentuanya itu untuk isteri habiskan latihan tetap segar dalam ingatan.

Bukankah jadi ketua keluarga itu susah?

**************************************

Suami berkeputusan untuk berhijrah ke ibu kota.

Isteri meleraikan air mata, tanda tidak rela berpisah dengan buah hatinya.

Suami mengambil keputusan untuk kebaikan keluarga. Jika tidak gembira dengan kerja baharunya, maka tidak salah untuk kembali semula.

Ibu dan ayah suami pula sangat berharap suami terima tawaran tersebut. Bukan mahu porak perandakan keluarga anak mereka, cuma dalam riak wajahnya, jelas kelihatan bahawa si suami tidak lagi gembira duduk di rumah bersahaja, walaupun dengan anak-anak tercinta.

Jauh di mata, dekat di hati.

Suami menyerahkan keputusan ini bulat-bulat pada Ilahi. Jika ini yang terbaik, maka permudahkanlah. Jika tidak, kuatkanlah hati suami ini untuk menerimanya.

Suami tahu, tempat yang terbaik untuk beliau berada ialah di sisi keluarga. Tapi apalah gunanya jika dekat, tapi sekadar jasad. Tiada lagi senyuman manis yang memikat.

Suami tahu, isterinya itu seorang yang kuat. Dahulu pada pandangan pertama suami sebelum menikah, suami tahu bakal isterinya itu seorang yang tidak mudah mengalah. Sentiasa tegar dalam menjalani hidup, tak mudah gentar.

*******************************************************

things-your-husband-is-always-thinking-about-2-3

Dalam diam, suami berfikir berseorangan.

Ini baru perpisahan sementara di dunia, si isteri sudah tidak dapat menahan air mata.

Bagaimana pula jika ini ialah perpisahan abadi?

Hidup terlalu muda untuk ditangisi. Bukankah waktu muda itulah waktu yang perlu bersusah payah supaya waktu tua nanti punya cerita untuk memotivasikan anak cucu?

***********************************************************************************

Dalam membuat keputusan, serahlah kepada Allah.

Dialah Yang Maha Berkuasa, Maha Bijaksana.

Leave a comment